Sunday 28 June 2009

Jadual mek dan ayah..

Pada hari kedua, kebetulan hari tu saya ada kelas. Mek dan ayah, tetap macam biasa, saya ada kelas ke takde kelas ke, mek dan ayah tetap bangun awal. Dari kecil lagi sehinggalah sekarang, mek dan ayah tak pernah bangun lewat pada anak2. Sepanjang hidup saya tak pernah sekali pun saya bangun awal pada mereka. Kalau masa kecik dulu, , bila bangun aje sarapan semua dah siap. Paling awal saya bangun dulu pun bila mek bagi salam ketika habis solat subuh. Ayah memang rutinnya ke surau. Subhanallah, rasa malu pada mereka pun ada bila memikirkan hal ni. Masih belum mampu nak ikut jejak yg satu tu. Usaha dan akan terus berusaha insyaAllah.
(De berdoa agar De mampu didik anak2 seperti mana mek dan ayah didik kami.)

Apapun, pada pagi Isnin tu lepas solat Subuh mek cuba nak siapkan sarapan. Mungkin sebab dah biasa, so rutin ni tetap nak di teruskan walaupun dok di Jepun. Tu yang kami makin segan sebab mek dah nak start memasak sedangkan kami baru nak bangun. So rutin tidur lepas subuh tu tidak lagi di amalkan sepanjang mek dan ayah ada di sini. Selepas bersarapan, saya bersiap ke sekolah sambil memesan, "..petang nanti bila De balik kita gi jalan ye..." So, saya cium tangan mek dan ayah sebelum ke sekolah, lepas tu isteri dan anak2. Bila dok dalam kereta sambil tunggu enjin panas, terasa air mata bergenang. Teringat masa kecik2 dulu bila selalu cium tangan mek dan ayah sebelum pegi sekolah. Rasa bersyukur sebab sampai sekarang saya masih mampu mencium tangan ibu dan ayah!. Terima kasih mek..terima kasih ayah....! Syukur kepada Allah sebab kurniakan pada saya ibubapa macam mek dan ayah!. De jadi seperti mana De sekarang.

Selesai kelas jam 2.30petang, pergi lab sekejap. Kebetulan minggu tu ada assignment yang perlu di hantar. Solat asar lebih kurang 3.30ptg kemudian baru bertolak balik. Sampai rumah dalam pukul 4 petang. Terus ajak mek dan ayah keluar berjalan round2 Nagaoka. Dari pukul 4.30 tu round2 sampai pukul 5.30ptg. Naik supermarket turun supermarket, masuk kedai keluar kedai. Itu ajelah di Nagaoka. :D

Jadual aktiviti mek dan ayah hari Selasa...perjalanan ke Niigata.

Thursday 25 June 2009

Jadual aktiviti Mek dan Ayah..hari pertama

Pagi Ahad tu, sampai agak awal, dalam 9.15am. Memang tak jangka sangat nak sampai seawal tu. Yelah first time perjalanan ke Tokyo dulu ambil masa 9 jam lalu jalan bawah, kemudian masa balik, 8 jam. 2-3 kali pegi balik pun selalunya ambik masa dalam 5-6 jam kurang walaupun naik hiway. Kali ni blh pulak capai 4 jam 15 minit je. Maybe sebab tak berhenti tidur di RnR kot. Anyway, syukur Alhamdulillah dapat sampai dengan selamat. Pesanan saya, bagi mereka yang tak berapa "kuat" masa memandu, elok la tidur dulu sebelum memulakan perjalanan waktu malam. Dan kemudian, bila bangun dari tidur tu, eloknya mandilah dulu. Bekalan gula-gula atau asam pun elok juga di bawa bagi mengelakkan mengantuk. Maklum la, kalau memandu waktu malam ni selalunya yang hanya berjaga, pemandu je..yang lain masih "meneruskan perjuangan" masing2.

Sebaik sahaja sampai, dah angkat beg semua kami rehat la sekejap. Duduk dalam x berapa lama, kawan call kata nak pinjam Chafing Dish utk majlis jamuan bersama Datuk Duta. Kena keluarkan dulu dari dalam almari. Maklumla first time nak guna. Kiranya majlis jamuan Datuk Duta ni merasmikan la. Lepas dah mengenakan baju batik (pinjam), kami pun bersiap utk ke Secom Hall utk majlis tersebut.
(Bergambar bersama Mek dan Ayah di luar Secom Hall dengan baju batik (pinjam)).


Ni ada lagi gambar Mek berlatarbelakangkan Gidai.

Selesai majlis tu dalam pukul 3 petang juga. Memandangkan Mek dan Ayah agak keletihan, so saya hantar dulu dia dan anak isteri balik rumah. Saya pergi balik ke majlis tu selepas selesai tunaikan solat Zohor. Pegi balik ke majlis tu pun dah tinggal nak kemas2 je. Yelah, walaupun tinggal nak kemas2, perlu la juga tunjukkan komitmen. Dah la masa sebelum majlis dah takde, ni selepas majlis pun nak ghaib lagi. Kesian juga pada adik2 undergrad yang dah bertungkus lumus sebelum majlis. Ada yang kurang tidur utk nak siapkan semua . Tak kurang juga kepada yang dah berkeluarga ni, turut sama membantu membuat persiapan. Kira dgn ayat mudahnya, kali ni kerjasama erat dari semua pihak telah dapat menjayakan program ni. Datuk Duta pun dok sebut banyak kali.."kurma daging ni sedap betul la..!". Terima kasih Datuk.


Menyusul...aktiviti hari kedua!.

Wassalam

Tuesday 23 June 2009

Gembira, letih....sambut family datang ke Jepun


Beberapa minggu yang lalu saya ke Narita Airport, walaupun pada awalnya agak sedih sebab pergi tu bukan untuk pegi ambik parent, namun 3 hari selepas tu Idi bagitau yang diorang jadi datang sini. Memang berita tu agak mengejutkan, tapi akhirnya diorang jadi juga datang ke sini. Jadi takdelah rugi tiket kapalterbang yang di beli beribu2 RM tu. So minggu depan tu pegi sekali lagi ke Narita untuk ambik family. Walaupun agak keletihan sebab bertolak dari Nagaoka pada jam 1.15am dan sampai di Chiba pada jam 6.20am tu tp dengan bantuan Rosli, kami ke Narita utk ambil family yang sampai dgn Estima dia.

Selepas tunggu agak lama dlm airport tu, akhirnya nampak kelibat ayah ngan mek dari dalam lagi dan semua yang datang ke Jepun tu termasuk Idi, wife dia dan adik iparnya pakai mask...maklum la selesema babi masih belum reda...tp bila sampai je..saya kata toksah pakai la..org kat sini mana pakai pun. Dan2 tu jugak terus diorang buka mask tu. Bila tgk beg2 yang di bawa..terkejut sungguh sebab Idi bawa beg sikit punya besar...walhal nak duduk seminggu je. Terpaksa la pos ke hotel. Kos pos sahaja 4800yen!. 3 beg dipos dan yang lainnya di bawa naik estima.

Di tempat parking, Rosli dah standby Estima untuk nak load org dan beg2 tu. Nasib baik sungguh la ada kawan2 di Chiba. Duan bagi tumpang rumah, Rosli dah "men teksi" kan Estima dia. Sepanjang jalan dari Airport ke Green Heights, Ichikawa, Rosli menghiburkan dengan bagi info macam2 kat keluarga saya. Dah jadi macam pemandu pelancong pulak gayanya. Sambil bawa kereta, sambil berceloteh. Kebetulan pulak pagi tu hujan, jalan jadi jammed. Tapi tak terasa sangat sebab Rosli pandai berbual.

Sampai aje di Green Heights, tengok2 kengkawan di sana dah pun siapkan juadah makan tengahari. Terasa macam layanan VIP pulak. Pelbagai jenis lauk pauk di sediakan, siap dgn kuih mueh lagi..memang sedap la. Lepas rehat kejap, kami pegi ke Asakusa pulak untuk hantar Idi, isteri dia dan adik iparnya ke hotel. Dari Green Heights ke Asakusa tu hanya 19km je, tp ambil masa dekat sejam. Idi stay di Weekly Mansion, Asakusa. Total sewa yang perlu di bayar selama seminggu tu ialah 89k yen. kalau dalam RM, lebih kurang RM 3500 kot.

Lepas dah setel check-in, barang yang pos dari airport pun sampai, kemas2 sikit. Kami plan nak ke Tomato untuk tgk kain cotton jepun. Dari Hotel Idi duduk ke Tomato tu, dalam 4km je. Tapi sebab mungkin xde rezeki, elok je kami sampai ke Tomato tu, org kedai dah tarik pintu nak tutup dah pun. so mek takde rezeki nak pegi kedai kain yang glamer di Tokyo tu...balik semula ke Green Heights, kami berehat la sebab pagi esok tu dah nak bertolak balik ke Nagaoka. Apapun terima kasih bebanyak la pada tuan rumah, Ridzuan sebab sudi terima kehadiran ramai tetamu ke rumah.

Pagi tu, lepas solat subuh kami bersiap utk balik ke Nagaoka. Dalam jam 5 pagi kami bertolak. Takleh nak bertolak lambat2 sebab pagi tu nak hadiri majlis jamuan makan dengan Datuk Duta, TYT Datuk Radzi. Elok pulak pagi tu cuaca pun cerah dari Tokyo. Jadi sepanjang 3 jam pertama perjalanan memang dapat tgk pemandangan la. Then bila dah mengantuk, berhenti sekejap di RnR. Disitu mek dan ayah ambil peluang bergambar sikit. jadilah buat kenang-kenangan.


Kami sampai di Nagaoka pada jam 9.15pagi. Walaupun hujan renyai2, badan pun letih tp saya tetap rasa gembira dan berbunga-bunga sebab parent yang dah lama di rindui ada bersama dengan saya di bumi Jepun. Saya rasa kalau tidak kerana peluang saya belajar di sini, saya x mampu untuk nak bawa parent saya datang ke sini mengenal bumi Jepun ini.

Wassalam

p/s ; bersambung ialah jadual mek n ayah sepanjang berada di Nagaoka.

Sunday 7 June 2009

Kenangan dan perancangan

Pada hari ini, TYT Datuk Radzi Duta Besar Malaysia di Jepun datang ke Nagaoka utk majlis perpisahan beliau dan bersempena dengan menyambut hari keputeraan Yang Dipertuan Agung. Majlis berjalan dengan lancar walaupun jelas kelihatan ahli2 MADINA keletihan kerana menyiapkan segala persiapan berkaitan. Dan saya yang baru sahaja sampai dari Tokyo, walaupun letih bergegas juga ke majlis tersebut utk menunjukkan sokongan kepada kawan2 yang dah bertungkus lumus.

Dalam ucapan TYT Datuk Duta, beliau ada sebut beberapa nasihat yang saya kira penting utk sama2 ambik pengajaran dan iktibar. Antaranya ialah kepentingan belajar dan memahirkan diri dgn ilmu pengurusan, memantapkan penguasaan bahasa asing. Tapi di sebabkan terlalu letih, saya tersengguk juga ketika ucapan tu.

Bila dah selesai majlis, balik rumah, layan tgk blog kakak yang sekarang di Jerman....terasa macam ada sesuatu yang perlu di nukilkan di sini. Suatu ketika, bilamana kami kecil sering bergaduh. Bukan dengan dia je, dgn Idi pun bergaduh...pengalaman dengan adik beradik yang lain mungkin tak berapa banyak sebab diorang tinggal di tempat lain, samada belajar, kerja dll. Tapi sekarang bila dah masing2 bergelar ibu dan ayah, barulah faham kerenah2 ini. Namun saya kira saya masih belum mampu utk menjadi bapa mithali.

Bila baca dan terus baca blog kakak tu, terasa macam ada "kehilangan". Masa kami dok bersama dgn mek dan ayah dan adik beradik yang lain, takde pulak saya terasa semua ni. Tapi bila masing2 dah dok asing macam ni...saya terasa dan berkata dalam hati..."alangkah bestnya kalau dapat dok sekali balik macam dulu...yana, idi dan adik beradik lain.." tapi saya pasti..itu hanyalah suatu angan2 yang pastinya tidak dapat lagi di kecapi. Masa tu telah pun berlalu. Dan ianya tidak di "genggam seeratnya" di "masa itu".

Kemudian bila di fikir2 kan balik..byk lagi perkara lain yang jadi seperti itu. Sama macam ibadat. suatu masa kita cakap.."alangkah bestnya kalau aku ada duit, blh sedekah". Tapi bila duit sudah berada di tangan, kita tidak lagi teringat apa yang pernah kita ucapkan dulu dan langsung melupakan utk bersedekah.

Sebagai pengajarannya...rebutlah apa yg anda miliki sekarang ini dan gunakan lah peluang yang ada dgn sebaik mungkin. Mulakan dengan apa yang ada di tangan, jangan berangan dengan sesuatu yang belum pasti menjadi hak milik kita. Apa yang kita ada sekarang ialah umur, dan tenaga muda belia yang sepatutnya di gunakan utk memperhebatkan lagi perjuangan hidup menuju kepada keredhaan Allah, bukan ketika kita sakit atau pun sudah tua baru nak sebut..nak beribadat kepada Allah.

Moga Allah menjadikan saya antara org yang berjaya dunia dan akhirat....


Hati sungguh gembira dgn kehadiran mek dan ayah ke Nagaoka pada hari ni. Mungkin suatu masa dahulu saya pernah sebut.."kalau aku ada duit, nak bagi mek dan ayah merasa duit yang aku ada ni" sebab dulu kami bukanlah dari keluarga berada....jadi sekarang peluang tu Allah dah bagi. harap agar permudahkan segala perancangan agar kenangan di masa lalu terubat dgn perancangan yang bakal di laksanakan di masa kini.

Wassalam.

Monday 1 June 2009

Perjalanan ke Narita Airport

Pada hujung minggu lalu (29hb Mei), kami sekeluarga telah pergi ke Narita Airport. Walaupun pada asalnya adalah untuk pergi ambil ahli keluarga yang di jadualkan datang ziarah ke Jepun, namun atas beberapa sebab yang akan saya catatkan di bawah, mereka tak jadi datang. Walau bagaimanapun perasaan hati ini tetap puas kerana dapat bantu member yang kebetulan nak balik ke Malaysia pada hari yang sama, jadi paling2 tidak pun, kami pergi ke juga airport tu.

Malam 30hb tu kami bertolak seawal jam 12.30am. Ni sebab nak dapatkan diskaun ETC 1000yen utk semua jarak tu la. So dari Gidai, saya drive dulu untuk 2 jam pertama naik Wish kami. Perjalanan pada waktu malam atas hiway di jepun ni memang kekadang tu rasa gerun. Gelap gelita. Jarang2 sekali nampak lampu jalan. Kebetulan pulak malam tu kenderaan tak berapa banyak. tak seperti yang saya jangkakan. Tambahan pulak pada waktu ni la lori banyak dan di tambah pulak di pandu dgn laju. Bayangkan kalau limit hiway 80km/j, saya drive dalam 100 - 110km/j (ikut limit Malaysia..he heh), tp lori yang datang dari sebelah kiri memotong kereta saya. Dgn kata lain, lori tu sah2 la di pandu lebih dari 110km/j. Jepun ni pun sama macam malaysia juga, stereng sebelah kanan.

Masuk aje subuh jam 2.40am, tu kami stop dulu di RnR. Kalau di dalam navi, dia akan tulis "PA". Apa maksudnya saya pun tak tau. Berhenti dalam 30 minit utk tunai kan solat subuh dan kemudian makan2 sikit sebagai sarapan awal pagi. Wife Din buat banyak betul sandwich. Siap bawa kek anniversary lagi. Nak solat di hiway sini takde lah semudah macam di Malaysia. Paip air pun takde apatah lagi tempat / ruang khas utk solat. Tapi dalam syariat, bukan nya WAJIB pun cari ruang khas utk solat, asalkan bersih cukup la. Lagipun memang dah jadi kebiasaan student luar di Jepun ni bawa plastik lapik. Jadilah untuk di gunakan sebagai lapik. Siap solat jemaah lagi.

Selesai solat Subuh dan makan2 sikit, saya sekali lagi drive. Tapi kali ni memang rasa mengantuk. Maklumla dari siang lagi badan dah memang penat, lepas tu tanpa rehat terus drive. So, saya tukar dgn Din. Nasib baik Din ni jenis "bateri" tahan lama..heh heh. Mata dia tak ngantuk. So dia la yang drive sampai ke Narita Airport. Sebelum sampai di Narita Airport tu ada macam tol kastam. Dia akan minta passport atau "alien card". Pastu dia akan tanya la sikit sebanyak. Semua soalan dalam bahasa Jepun la pastinya. Kekadang ada yang minta alien card semua yang ada dalam kereta tu, kekadang driver je. Tapi apa pun nak citernya, ia tak sama macam kita di Malaysia. So kepada sesapa yang tak pernah ke Narita Airport dgn kereta, pastikan bawa ajelah passport utk standby. Sebelum ni saya pegi ke Narita Airport dgn densya (train). Bila nak masuk dalam airport tu diorg minta passport. Kalau takde xleh masuk!.

Berbalik kepada sebab kenapa family saya tak jadi datang. Kalau ikutkan memang segalanya dah setel. Bab visanya, tempahan hotelnya, dan lain2. Kira2 nya kalau kapal terbang sampai, naik tu kira terus sampai jepun la. Tapi apakan daya, perancangan Allah lebih baik dari perancangan kita, manusia ni. Bila mana Allah uji dengan selesema babi di Tokyo, pihak keluarga saya membatalkan trip kali ni. Memang la terasa sungguh berat utk nak cancel sebab segala perancangan dah di buat, tiket pun dah beli, mahal pulak tu. Walaupun masa beli tu harga diskaun (RM2140 seorang). tapi kalau dah cancel, terasa mahal la sebab duit tu seolah terbuang begitu saja. Tambah pulak, yang nak datang tu 5 orang dewasa, 1 org baby. so kalau di jumlahkan, memang banyak la. Tapi walau apa pun, sebagai penenang jiwa di samping yakin bahawa setiap sesuatu tu ada hikmahnya, di bawah adalah hadis sahih yang ada kaitan dgn wabak ni.


Hadis Abdullah bin Abbas r.a:
Sesungguhnya Umar bin Al-Khattab pergi ke Syam. Apabila sampai ke sebuah dusun yang bernama Sarghi, beliau telah dikunjungi oleh penduduk di sekitarnya, iaitu Abu Ubaidah bin Al-Jarrah dan para pengikutnya. Mereka mengkhabarkan bahawa wabak (penyakit taun) telah berjangkit di Syam. Ibnu Abbas berkata setelah mendengar berita itu, Umar berkata: Cuba panggilkan para sahabat Muhajirin yang pertama. Aku melaksanakan perintah Umar. Umar mengajak mereka berbincang dan memberitahu kepada mereka bahawa wabak telah berjangkit di Syam. Mereka telah berbeza-beza pendapat mengenai berita tersebut. Sebahagian di antara mereka berkata: Engkau pergi untuk suatu urusan yang besar, jadi kami tidak sependapat sekiranya engkau pulang. Sebahagian yang lain pula berkata: Engkau diikuti oleh orang ramai dan para sahabat Rasulullah s.a.w, jadi kami tidak bersetuju apabila engkau membawa mereka menuju ke wabak ini. Umar berkata: Tinggalkanlah aku! Kemudian beliau berkata lagi: Tolong panggilkan para sahabat Ansar. Aku pun memanggil mereka. Ketika mereka diminta berbincang, mereka telah berbeza-beza pendapat sebagaimana para sahabat Muhajirin. Umar berkata: Tinggalkanlah aku! Lalu beliau berkata lagi: Tolong panggilkan para pembesar Quraisy yang berhijrah sewaktu penaklukan dan sekarang mereka berada di sana. Aku memanggil mereka dan ternyata mereka telah sepakat kemudian berkata: Menurut kami, sebaik-baiknya engkau bawa sahaja mereka pulang dan tidak mengajak mereka memasuki kawasan wabak ini. Lalu Umar menyeru di tengah-tengah orang ramai: Aku akan memandu tungganganku untuk pulang, pulanglah bersamaku. Abu Ubaidah bin Al-Jarrah bertanya: Apakah itu bererti lari dari takdir Allah? Umar menjawab: Harapnya bukan engkau yang bertanya wahai Abu Ubaidah! Memang Umar tidak suka berselisih pendapat dengan Abu Ubaidah. Ya, kita lari dari ketentuan (takdir) Allah untuk menuju kepada takdir Allah yang lain. Apakah pendapatmu seandainya engkau mempunyai seekor unta yang turun di suatu lembah yang mempunyai dua keadaan, satunya subur dan satu lagi tandus. Adakah jika engkau mengembalanya pada tempat yang subur itu bukan bererti engkau mengembalanya kerana takdir Allah? Begitu pula sebaliknya, bukankah engkau mengembalanya kerana takdir Allah juga? Lalu datanglah Abdul Rahman bin Auf yang baru saja tiba dari suatu keperluan. Beliau berkata: Sesungguhnya aku mempunyai pengetahuan mengenai masalah ini. Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu mendengar terdapat wabak di suatu daerah, janganlah kamu datang ke tempatnya. Sebaliknya, sekiranya wabak itu berjangkit di suatu daerah sedangkan kamu berada di sana maka janganlah kamu keluar melarikan diri daripadanya. Mendengar kata-kata itu Umar bin Al-Khattab memuji Allah, kemudian beredar meninggalkan tempat itu

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4114

Di ambil dari http://hadith.al-islam.com/Bayan/


Wassalam