Friday 15 January 2010

Salji oh salji

Pusingan kedua salji turun dengan begitu lebat di Nagaoka ini selepas pusingan pertama salji turun pada pertengahan bulan lepas di mana ia turun tanpa henti selama berhari-hari. Kereta wish yang saya beli tu dah di panggil "Kereta sodok" sebab tersodok salji sehinggakan ada skru yang dah tercabut di bahagian mud guard nya. Nak buat macammana, kalau orang kata "tak sayang kereta ke?..." jawapan saya memang saya sayang, tapi itulah antara "tanggungjawab" kereta, membawa saya dan sesiapa yang menaikinya ke mana sahaja. Ikut selera pemandu. Bukan tak berhati-hati semasa memandu, tapi kalau dah saljinya begitu tebal, jalan yang dua lorong pun dah jadi satu lorong....terpaksalah redah juga. Kalau dah sayang sangat ke kereta tu, tak nak bagi calar, letak je lah kat tempat parking. Nak lebih rasa selamat, balut dan selimut sekali. Tapi itu pun tak menjamin keselamatan kereta kita juga sebab kereta saya pernah di sagat oleh jiran ketika tengah parking!.

(Saya bergambar di sebelah kereta yang di litupi salji)

Salji kali ini turun dah berhari-hari tanpa henti. Semalam cuba-cuba pergi ke lab selepas hampir sebulan "bercuti" untuk jaga baby, tetapi usaha untuk mencari parking di Gidai hampir sia-sia kerana banyak tempat di penuhi dengan salji. Malah ada kereta yang parking sehari semalam sahaja dah tenggelam dek kerana salji. Hebat sungguh kuasa Allah menurunkan salji sehinggakan penduduk-penduduk sini pun pening nak buang salji takde tempat. Pun begitu. ada juga yang seronok dengan salji yang banyak macam ni.

Kelmarin dulu, bila melihat tuan rumah (oya san) membersihkan salji di lapangan parking, saya turut turun. Kesian pula dan tak sampai hati bila tengok dia buat kerja sorang-sorang. Dah la perempuan, tua, kerja sorang-sorang di tengah salji. Saya tak tahulah pulak adakah ianya tanggungjawab tuan rumah untuk bersihkan salji di tempat parking miliknya. Tetapi tuan rumah bersihkan salji di setiap kereta yang ada di tempat parking miliknya. 2 jam bersihkan salji, seronok pun ada sebab sambil-sambil bersihkan salji sambil-sambil berbual dengan jiran jiran yang turut sama bersihkan salji. Jiran cukup baik, bukan setakat bagi pinjam sodok dan pelbagai alatan lain, malah tolong bersihkan salji atas kereta saya. Selepas 2 jam bersihkan salji, masuk rumah baru perasan yang jari kaki dah pun bengkak-bengkak.

Hari ni cadangnya nak main salji dengan anak-anak di tepi rumah. Keliling rumah saya ni, saljinya dah hampir paras pinggang. Fauzan dah banyak kali minta saya buatkan rumah salji untuk dia. InsyaAllah, cuba juga lah nak penuhi hajat dia tu.

Sebenarnya di musim salji yang macam ni ada 1001 satu peluang untuk meraih pahala di samping alasan yang biasa kita dengar untuk tidak tunaikan solat juga. Bersyukurlah kita menjadi orang Islam dan mengecap nikmat iman kerana dengan apa jua situasi pun kita mampu meraih pahala yang Allah sediakan bagi mereka yang inginkannya dan mencarinya. Kalau kita mengaku orang Islam tetapi bukan sahaja tidak tunaikan solat, malah sedikit pun tidak membantu bersihkan jalan yang di penuhi salji, silap hari bulan kita boleh jadi orang yang lebih teruk dari orang Jepun. Setidak-tidaknya mereka membantu membersihkan jalan-jalan dari salji.

Sumbangkan lah sedikit masa dan tenaga kita, setidak-tidaknya bersihkan ruang parking jiran-jiran kita.