Friday 3 December 2010

Setelah lama menyepi

Setelah sekian lama menyepi, saya coretkan kembali beberapa perkara yang masih bermain-main di dalam kotak pemikiran saya. Banyak yang dilalui semenjak balik ke Malaysia, ada yang manis dan ada juga yang pahit untuk ditelan. Apa pun itulah takdir yang telah Allah tuliskan untuk sebagai hambaNya untuk melihat sejauh mana kita patuh dan taat kepadaNya.

Kepada rakan-rakan yang masih meneruskan perjuangan di Nagaoka, jangan patah semangat juang anda yang tinggi itu. Balik ke Malaysia nanti, biarlah berbaloi. Sekurang-kurangnya dengan sekeping ijazah. Amat mahal harganya tu. Bukan sekadar nilai wang ringgit, tetapi masa dan tenaga yang telah di habis di bumi sakura itu. Peluang untuk berdakwah dan menarik lebih ramai warga Jepun kepada agama Allah juga sering terbuka luas. Cuma kita jarang untuk melihat peluang yang ada ini atas alasan sibuk, sibuk dan sibuk. Seringkali itulah alasan yang kita berikan kalau ianya perkara untuk Islam dan iman, tetapi kita tidak pernah memberi alasan bila ianya tuntutan nafsu. Jadi, fikir-fikirkan lah.

Kepada adik-adik yang istiqamah dengan solat subuh berjemaah, tahniah saya ucapkan. Biarlah ibadat yang kita buat bukan kerana orang-orang tertentu walaupun saya tidak nafikan kekadang bila ada seseorang yang menggerakkan kita, semangat kita makin meningkat. Saya sendiri pun dulu masa di sana, kalau tidak kerana ajakan Naim, Hermy dan Farhan...rasanya tertewas juga untuk solat subuh berjemaah. Tambahan pula kalau masa salji menebal tu. Ujian juga makin hebat. Tetapi percayalah, hebatnya seorang muslim itu bukan pada keperkasaan tubuh badannya, tetapi sejauh mana kuatnya dia bangun pada waktu malam dan beribadat kepada Allah. Mudah-mudahan ALlah permudahkan kita semua ke arah kebaikan.

Kalau di sana (Nagaoka), mungkin pada masa ini hanya menunggu untuk masuk waktu solat Subuh. tapi di sini baru sahaja nak lelapkan mata. Pagi tadi menguruskan jenazah jiran yang meninggal dunia akibat kanser. Arwah adalah orang pertama yang mengisi perkuburan baru di kawasan perumahan tempat saya duduk ini, jadi segala nya menjadi tidak tersusun. Walaupun ada jawatankuasa surau, kejiranan yang baik namun bila jadi macam ni, agak tersentak juga.

Bukanlah tujuan saya untuk bercerita mengenai urusan jenazah jiran saya pada entri kali ini. Sekadar untuk memulakan kembali perkongsian pengalaman terutamanya kepada adik-adik dan rakan-rakan yang masih meneruskan perjuangan di sana. Terutamanya prosedur untuk menguruskan sendiri kereta yang akan di bawa balik nanti ke Malaysia. InsyaAllah saya akan tuliskan satu persatu pengalamannya, bermula dari saya hantar barang-barang ke Niigata port sehinggalah kereta sampai ke tangan saya (walaupun pada masa ini kereta masih belum dapat ke tangan saya setelah balik lebih 3 bulan).

Antara lain insyaAllah saya akan kongsikan pengalaman urusan kewangan bila balik ke Malaysia nanti serta banyak lagi perkara lain kalau saya ingat, saya akan kongsikan.

Wassalam