Thursday, 15 April 2010

`Membersihkan` sawang

Setelah lebih 2 bulan rasanya saya tidak update blog ini. Bukan kerana ketandusan idea atau masalah lain, tetapi kepala agak berserabut dengan pelbagai *ekspidisi menggali pengalaman. Yang pentingnya kali ini, entri yang dapat membersihkan sawang yang makin banyak di blog ini.

Bermula cuti bulan 3 yang lalu saya agak sibuk menguruskan hal kereta untuk di bawa balik ke Malaysia. Walaupun bukan kereta saya, tetapi demi untuk pengalaman, saya tempuh juga. Saya kira saya perlu ucapkan terima kasih saya pada isteri yang tercinta dan anak-anak dalam hal ini. Sepatutnya cuti selama sebulan itu saya isi dengan program bersama keluarga sepenuhnya. Tetapi tidak. Malah ketiadaan saya di rumah melebihi urusan saya ketika di lab untuk buat research. Bagi para pembaca yang mahu tahu lebih lanjut berkenaan urusan beli kereta, buat export certificate, massho, urusan kontena, agen forwarder dan sebagainya, boleh lah email saya secara peribadi atau call aje saya di sini sebab saya rasa saya tidak akan tulisnya di dalam blog ini. Kalau pun saya nak tulis, mungkin selepas saya balik ke Malaysia nanti atas alasan-alasan yang tidak dapat di nyatakan di sini.
(3 beradik yang sabar dengan janji2 ayahnya untuk pergi jalan-jalan)


Walau bagaimanapun selepas kereta di hantar ke port Niigata, kepala yang berserabut dah kembali tenang sedikit. Pada masa itulah saya ambil keputusan untuk bawa anak-anak dan isteri "balik kampung" di Chiba. Sambil-sambil buat sijil kelahiran dan passport untuk Faiz, boleh juga menjengah kawan-kawan yang nak balik ke Malaysia selepas tamat pengajian masing-masing. Selalunya mengikut pengalaman yang lepas-lepas, kawan-kawan di sini bila balik je ke Malaysia, masing-masing dah tak buka YM, kalau email pun x berapa nak balas. Setakat ni ada seorang je kawan yang balik, masih berhubung dan cepat sungguh responnya sehingga boleh chat la juga untuk dia berkongsi pengalaman.

Program balik kampung baru ni pun takdelah seronok sangat pun sebab anak-anak tidak lagi dapat bermain-main dengan kawannya. Ramai yang dah balik. Sunyi pulak rasanya. Nasib baik kami ke rumah Kak Wan untuk nak jumpa Kak Syikin dan family nya yang datang. Diorang menumpang di rumah kak wan sebelum Kak Syikin balik. Di situ sempat juga lah Fauzan main dengan anak-anak yang ada di situ. Anak Kak Aspa dan anak Kak Wan sendiri. Bila dah bekeluarga, itulah yang selalu saya fikirkan. Ke mana saya pergi, ada tak tempat untuk anak-anak "lepaskan" sedikit cas bateri. Kalau dalam kereta atau dalam rumah di Jepun ni, bukan boleh aktif lebih sangat. Macam ada member Vietnam saya kat sini, katanya jiran dia dah buat report ke pihak University mengatakan anak kawan saya ni bising. Saya pun hairan bagaimana caranya nak kawal tahap keaktifan anak-anak sedangkan ini memang masanya mereka bergerak dan bermain tanpa sempadan. Walau pun kekadang di tegur, di marah, diugut, semua itu hanya membuatkan keaktifan anak-anak ni "pause" sekejap aje. Lepas tu sambung balik. (Tempat main Fauzan semasa di Gyotoku dulu - Saty Myoden)

Pergi ke embassy baru ni pun boleh tahan juga payahnya. Ini kali pertama ke sana dengan menaiki kereta sendiri, pandu sendiri, menggunakan jalan biasa bukan highway. Bertolak dalam 8.40pagi dan sampai dalam pukul 10.30. Memang masih sempat untuk berurusan cumanya letih sikit lah. Selesai berurusan untuk sijil kelahiran dan passport, saya sempat menjengah kakitangan JPA di situ sambil beramah mesra dan bertanya khabar. Selesai solat zohor jamak dengan Asar di situ kami pulang juga menggunakan jalan bawah. Kali ini takdelah tergesa-gesa sangat. Sempatlah dengan hujan ais di bandar Tokyo tu. Rupanya bila naik kereta lalu jalan bawah, kita akan lalui kawasan Tokyo Tower. So, sempat lah isteri snap 2-3 keping gambar. Tak taulah dapat ke tak sebab saya fokus memandu je.
(Gambar Tokyo Tower yg sempat di snap oleh wife)

Balik semula ke Nagaoka hari Selasa menggunakan jalan bawah. Pada awalnya rancang untuk naik highway sebelum Yuzawa sebab kawasan situ berbukit dan pusing-pusing seperti jalan Lenggong-Grik nak ke Kelantan pada sekitar 80an dulu. Tapi bila terasa letih sangat dah lalu jalan bawah, dengan sesaknya, lampu isyarat banyak sangat nye, akhirnya saya dan isteri ambil keputusan naik highway. Biarlah kalau kena bayar tol mahal pun. Sampai di Nagaoka, tol yang dikenakan ialah 3850yen. Tak kisah lah...!. Tapi yang pastinya, harga minyak petrol di Tokyo lebih murah dari di Nagaoka dalam 5yen / liter.

Rasanya setakat ini dulu untuk entri kali ini. Sekarang hati pun rasa lega sikit sebab "adik-adik" bujang dah balik semula ke sini. Dan yang lebih menggembirakan hati saya bila kebanyakan mereka hadir untuk solat Zohor berjemaah di Kaikan pada setiap hari dan pada hari Jumaat malam sabtu bila ada majlis Ta`lim di Halal House pun, adik-adik yang baru sampai ni turut mengambil bahagian. Harap-harap mereka ini dapat meneruskannya agar saya dapat balik ke Malaysia dengan hati yang tenang.

Apapun saya berhajat untuk buat kursus persediaan menjadi Imam kepada warga Nagaoka ini sebelum saya balik pada bulan 8 nanti insyaAllah. Moga Allah permudahkan segala urusan saya dan seterusnya saya dapat merealisasikan hajat saya ini.

Wassalam

Wednesday, 17 February 2010

Birthday Fauzan ke - 5 dan cerita kek


Pada 7hb Feb yang lalu, Fauzan anak sulung kami telah genap 5 tahun. Pejam celik pejam celik, saya dah semakin tua. Bila berdiri dengan Fauzan, terasa diri jadi semakin rendah. Mungkin sebab Fauzan ikut baka sebelah ibu dia. Semua tinggi-tinggi. Kalau ikut baka sebelah saya, kecik2 dan comel2 je..he heh..Bila di sekolah , Fauzan tidaklah menjadi pelajar yang paling rendah dalam kelasnya dan tidak juga paling tinggi. Cuma kulitnya aje yang berbeza dari kengkawannya yang semuanya berketurunan Jepun tu.

Kebetulan Ibunya pun nak menyambut hari kelahirannya juga pada 9hb Feb, jadi saya belilah kek birthday yang tidak seberapanya di kedai kek. Apa yang menarik pada entri kali ini ialah proses kami membeli kek tu yang kemudiannya membuatkan saya terdetik, "adakah selama ini kami telah tersalah tafsir terhadap bahan-bahan dalam pembuatan makanan tersebut"

Ceritanya begini, pada petang 9hb itu saya balik rumah seawal yang boleh untuk pergi beli kek. Kalau di ikutkan memang kena tempah dulu kek ni sebab secara umumnya kebanyakan kek yang di buat di sini diorang boleh letak apa sahaja bahan di dalam nya. Silap haribulan "sake" (arak jepun) pun diorang campur. Kami di sini, baik yang pandai cakap bahasa Jepun mahupun yang masih bertatih selalu nya kami train untuk tanya "ada tak kek yang tiada di dalamnya sake, gelatin dan nyukazai (emulsifier)". Memang selalunya kedai kek di sini akan letakkan satu tanda di hadapan kek khas untuk orang-orang yang alergy apa yang diorang masukkan ke dalam kek tu. Bukan keseluruhan bahan mentahnya, tp bahan2 yang selalunya akan menyebabkan orang alergy ada masalah bila makan.

Kalau kita sekadar berpandukan pada tanda tu sahaja, memang sah semua kek yang di buat oleh orang Jepun ni tak boleh di makan saya rasa sebab semuanya ada di letakkan nyukazai. Jadi kena tanya, nyukazai ini terhasil dari binatang (doubutsu) atau tumbuhan (shokubutsu). Kalau yang terhasil dari tumbuhan memang sah la kita pun boleh makan. Apa yang saya cerita kali ini ialah kepada mereka yang begitu teliti terhadap apa yang diorang makan. Bagi mereka yang "belasah" apa sahaja untuk di makan, tidak perlu baca sampai habis entri kali ini.

(Fauzan dan Fatin sedang makan kek birthday yang di tempah)

Di kedai yang pertama saya pergi, melihat kepada kek tu memang cukup menggiurkan. Bila di baca pada tanda di hadapan kek di tulis ada masuk telur dan nyukazai. Jadi saya tanya pada pekedai tu, nyukazai ni dari binatang ke dari tumbuhan. Disebabkan orang yang saya tanya tu hanya jurujual, jadi dia masuk ke dalam dan tanya pada tukang buat. Tukang buat tu keluar dan cakap nyukazai ni dari binatang. Jadi saya tanya lagi, ada tak kek dalam kedai ni yang nyukazainya dari tumbuhan. Tukang buat kek tu cakap - takde. Jadi kami keluar dari kedai dalam keadaan sedikit hampa dengan hujan yang agak lebat ketika itu. Disebabkan dah nak dekat Maghrib, jadi kami buat keputusan untuk balik solat Maghrib dulu dan akan keluar balik lepas solat Isyak.

Selepas Isyak, kami keluar dalam usaha untuk membeli kek birthday. Kali ni ke APITA. Salah satu supermarket yang terbesar di Nagaoka. Ala-ala macam Carrefour Alamanda lah senang kalau nak gambarkan. Kedai kek hanya di pintu masuk sahaja. Jadi tak perlu bersusah payah dengan nak kilik rakyat yang semakin ramai ni. Mula-mula berkenan pada satu kek coklat yang dibuat dengan bentuk angka 9. Jadi saya cakap pada Fauzan, kita beli kek ni dengan letak angka 5. Jadi dia melompat seronok tak terhingga. Harga tidak lah mahal sangat. Jadi apa yang menariknya ialah perbualan saya dengan jurujual dan tukang buat kek hampir 30 minit untuk nak dapatkan kek yang ada"tanda halal".

Dengan kemahiran berbahasa Jepun yang limited ini saya gagahkan juga untuk bertanya. Standard soalan, kek yang tiada sake, gelatin dan nyukazai. Sake dan gelatin memang tiada masalah untuk di tiada kan dalam kek, cuma dalam kes kek coklat, nyukazai perlu di letakkan untuk decorationnya. Kemudiannya saya cakap nyukazai pun ok kalau bukan daripada binatang. Rupanya jurujual dan tukang buat kek tu pun tak berapa mahir dengan kek coklat yang saya berkenan tu. Jadi dia telefon entahkan siapa, untuk tanya detail pasal kek coklat tu. Dia pun tanya saya kalau susu lembu boleh tak?. Saya kata kalau susu lembu boleh. Dia mula pening...sebab bagi pemahaman mereka, susu lembu tu juga daripada binatang. Kita pun faham dan tahu susu lembu itu memang sah2 la datang dari lembu. Jadi, nyukazai yang di masukkan tu sebenarnya adalah dari produk tenusu (nyuuseihin). Saya cakap balik kalau setakat susu lembu memang boleh. Dia pun terangkan lebih detail kepada saya berkenaan "nama cream" (krim mentah). Katanya Nama Cream ini juga boleh terhasil dari binatang dan tumbuhan. Yang dimaksudkan dari binatang itu ialah susu lembu dan yang dimaksudkan dengan tumbuhan itu ialah dari susu soya. Then saya cakap, kalau macam tu boleh lah makan.

Tukang kedai mula jadi was-was. Sebab mula2 tadi saya kata saya tidak boleh makan makanan yang terhasil dari binatang. Tapi ini susu lembu, juga dari binatang. Untuk mengelakkan salah faham yang lebih dahsyat, tukang kedai syorkan kepada saya kek lain yang dia boleh jamin terelak dari segala syubhat. Saya pun setuju dan terpaksa membayar extra 500yen sebab dia terpaksa buat nama cream special untuk saya. Tapi saya cukup puji pekedai tersebut sebab dia juga tidak mahu saya termasuk dalam kategori membeli makanan yang syubhat dari segi bahan mentahnya.

Jadi saya mula terfikir, adakah selama ini pemahaman kami terhadap nyukazai ini silap. Mungkin untuk produk lain, nyukazai yang digunakan daripada daging binatang, tetapi produk makanan seperti kek, roti dan yang sewaktu dengannya ini menggunakan nyukazai dari binatang iaitu susu lembu. Apa pun saya sudahpun maklumkan kepada setiausaha IPIJ untuk tindakan lanjut. Mungkin selepas ini kalau nak tanya pada pengilang makanan, bukan setakat tanya nyukazai yang dimasukkan itu dari binatang atau tumbuhan, tetapi juga nyukazai dari binatang itu adakah hanya susu lembu!.

Moga entri kali ini memberi sedikit pemahaman. Saya amat berharap mereka yang pandai berbahasa Jepun boleh tanya in detail dengan pengilang supaya kita boleh tambah koleksi makanan halal di Jepun ini.

Wassalam.