Wednesday 17 February 2010

Birthday Fauzan ke - 5 dan cerita kek


Pada 7hb Feb yang lalu, Fauzan anak sulung kami telah genap 5 tahun. Pejam celik pejam celik, saya dah semakin tua. Bila berdiri dengan Fauzan, terasa diri jadi semakin rendah. Mungkin sebab Fauzan ikut baka sebelah ibu dia. Semua tinggi-tinggi. Kalau ikut baka sebelah saya, kecik2 dan comel2 je..he heh..Bila di sekolah , Fauzan tidaklah menjadi pelajar yang paling rendah dalam kelasnya dan tidak juga paling tinggi. Cuma kulitnya aje yang berbeza dari kengkawannya yang semuanya berketurunan Jepun tu.

Kebetulan Ibunya pun nak menyambut hari kelahirannya juga pada 9hb Feb, jadi saya belilah kek birthday yang tidak seberapanya di kedai kek. Apa yang menarik pada entri kali ini ialah proses kami membeli kek tu yang kemudiannya membuatkan saya terdetik, "adakah selama ini kami telah tersalah tafsir terhadap bahan-bahan dalam pembuatan makanan tersebut"

Ceritanya begini, pada petang 9hb itu saya balik rumah seawal yang boleh untuk pergi beli kek. Kalau di ikutkan memang kena tempah dulu kek ni sebab secara umumnya kebanyakan kek yang di buat di sini diorang boleh letak apa sahaja bahan di dalam nya. Silap haribulan "sake" (arak jepun) pun diorang campur. Kami di sini, baik yang pandai cakap bahasa Jepun mahupun yang masih bertatih selalu nya kami train untuk tanya "ada tak kek yang tiada di dalamnya sake, gelatin dan nyukazai (emulsifier)". Memang selalunya kedai kek di sini akan letakkan satu tanda di hadapan kek khas untuk orang-orang yang alergy apa yang diorang masukkan ke dalam kek tu. Bukan keseluruhan bahan mentahnya, tp bahan2 yang selalunya akan menyebabkan orang alergy ada masalah bila makan.

Kalau kita sekadar berpandukan pada tanda tu sahaja, memang sah semua kek yang di buat oleh orang Jepun ni tak boleh di makan saya rasa sebab semuanya ada di letakkan nyukazai. Jadi kena tanya, nyukazai ini terhasil dari binatang (doubutsu) atau tumbuhan (shokubutsu). Kalau yang terhasil dari tumbuhan memang sah la kita pun boleh makan. Apa yang saya cerita kali ini ialah kepada mereka yang begitu teliti terhadap apa yang diorang makan. Bagi mereka yang "belasah" apa sahaja untuk di makan, tidak perlu baca sampai habis entri kali ini.

(Fauzan dan Fatin sedang makan kek birthday yang di tempah)

Di kedai yang pertama saya pergi, melihat kepada kek tu memang cukup menggiurkan. Bila di baca pada tanda di hadapan kek di tulis ada masuk telur dan nyukazai. Jadi saya tanya pada pekedai tu, nyukazai ni dari binatang ke dari tumbuhan. Disebabkan orang yang saya tanya tu hanya jurujual, jadi dia masuk ke dalam dan tanya pada tukang buat. Tukang buat tu keluar dan cakap nyukazai ni dari binatang. Jadi saya tanya lagi, ada tak kek dalam kedai ni yang nyukazainya dari tumbuhan. Tukang buat kek tu cakap - takde. Jadi kami keluar dari kedai dalam keadaan sedikit hampa dengan hujan yang agak lebat ketika itu. Disebabkan dah nak dekat Maghrib, jadi kami buat keputusan untuk balik solat Maghrib dulu dan akan keluar balik lepas solat Isyak.

Selepas Isyak, kami keluar dalam usaha untuk membeli kek birthday. Kali ni ke APITA. Salah satu supermarket yang terbesar di Nagaoka. Ala-ala macam Carrefour Alamanda lah senang kalau nak gambarkan. Kedai kek hanya di pintu masuk sahaja. Jadi tak perlu bersusah payah dengan nak kilik rakyat yang semakin ramai ni. Mula-mula berkenan pada satu kek coklat yang dibuat dengan bentuk angka 9. Jadi saya cakap pada Fauzan, kita beli kek ni dengan letak angka 5. Jadi dia melompat seronok tak terhingga. Harga tidak lah mahal sangat. Jadi apa yang menariknya ialah perbualan saya dengan jurujual dan tukang buat kek hampir 30 minit untuk nak dapatkan kek yang ada"tanda halal".

Dengan kemahiran berbahasa Jepun yang limited ini saya gagahkan juga untuk bertanya. Standard soalan, kek yang tiada sake, gelatin dan nyukazai. Sake dan gelatin memang tiada masalah untuk di tiada kan dalam kek, cuma dalam kes kek coklat, nyukazai perlu di letakkan untuk decorationnya. Kemudiannya saya cakap nyukazai pun ok kalau bukan daripada binatang. Rupanya jurujual dan tukang buat kek tu pun tak berapa mahir dengan kek coklat yang saya berkenan tu. Jadi dia telefon entahkan siapa, untuk tanya detail pasal kek coklat tu. Dia pun tanya saya kalau susu lembu boleh tak?. Saya kata kalau susu lembu boleh. Dia mula pening...sebab bagi pemahaman mereka, susu lembu tu juga daripada binatang. Kita pun faham dan tahu susu lembu itu memang sah2 la datang dari lembu. Jadi, nyukazai yang di masukkan tu sebenarnya adalah dari produk tenusu (nyuuseihin). Saya cakap balik kalau setakat susu lembu memang boleh. Dia pun terangkan lebih detail kepada saya berkenaan "nama cream" (krim mentah). Katanya Nama Cream ini juga boleh terhasil dari binatang dan tumbuhan. Yang dimaksudkan dari binatang itu ialah susu lembu dan yang dimaksudkan dengan tumbuhan itu ialah dari susu soya. Then saya cakap, kalau macam tu boleh lah makan.

Tukang kedai mula jadi was-was. Sebab mula2 tadi saya kata saya tidak boleh makan makanan yang terhasil dari binatang. Tapi ini susu lembu, juga dari binatang. Untuk mengelakkan salah faham yang lebih dahsyat, tukang kedai syorkan kepada saya kek lain yang dia boleh jamin terelak dari segala syubhat. Saya pun setuju dan terpaksa membayar extra 500yen sebab dia terpaksa buat nama cream special untuk saya. Tapi saya cukup puji pekedai tersebut sebab dia juga tidak mahu saya termasuk dalam kategori membeli makanan yang syubhat dari segi bahan mentahnya.

Jadi saya mula terfikir, adakah selama ini pemahaman kami terhadap nyukazai ini silap. Mungkin untuk produk lain, nyukazai yang digunakan daripada daging binatang, tetapi produk makanan seperti kek, roti dan yang sewaktu dengannya ini menggunakan nyukazai dari binatang iaitu susu lembu. Apa pun saya sudahpun maklumkan kepada setiausaha IPIJ untuk tindakan lanjut. Mungkin selepas ini kalau nak tanya pada pengilang makanan, bukan setakat tanya nyukazai yang dimasukkan itu dari binatang atau tumbuhan, tetapi juga nyukazai dari binatang itu adakah hanya susu lembu!.

Moga entri kali ini memberi sedikit pemahaman. Saya amat berharap mereka yang pandai berbahasa Jepun boleh tanya in detail dengan pengilang supaya kita boleh tambah koleksi makanan halal di Jepun ini.

Wassalam.