Friday, 3 December 2010

Setelah lama menyepi

Setelah sekian lama menyepi, saya coretkan kembali beberapa perkara yang masih bermain-main di dalam kotak pemikiran saya. Banyak yang dilalui semenjak balik ke Malaysia, ada yang manis dan ada juga yang pahit untuk ditelan. Apa pun itulah takdir yang telah Allah tuliskan untuk sebagai hambaNya untuk melihat sejauh mana kita patuh dan taat kepadaNya.

Kepada rakan-rakan yang masih meneruskan perjuangan di Nagaoka, jangan patah semangat juang anda yang tinggi itu. Balik ke Malaysia nanti, biarlah berbaloi. Sekurang-kurangnya dengan sekeping ijazah. Amat mahal harganya tu. Bukan sekadar nilai wang ringgit, tetapi masa dan tenaga yang telah di habis di bumi sakura itu. Peluang untuk berdakwah dan menarik lebih ramai warga Jepun kepada agama Allah juga sering terbuka luas. Cuma kita jarang untuk melihat peluang yang ada ini atas alasan sibuk, sibuk dan sibuk. Seringkali itulah alasan yang kita berikan kalau ianya perkara untuk Islam dan iman, tetapi kita tidak pernah memberi alasan bila ianya tuntutan nafsu. Jadi, fikir-fikirkan lah.

Kepada adik-adik yang istiqamah dengan solat subuh berjemaah, tahniah saya ucapkan. Biarlah ibadat yang kita buat bukan kerana orang-orang tertentu walaupun saya tidak nafikan kekadang bila ada seseorang yang menggerakkan kita, semangat kita makin meningkat. Saya sendiri pun dulu masa di sana, kalau tidak kerana ajakan Naim, Hermy dan Farhan...rasanya tertewas juga untuk solat subuh berjemaah. Tambahan pula kalau masa salji menebal tu. Ujian juga makin hebat. Tetapi percayalah, hebatnya seorang muslim itu bukan pada keperkasaan tubuh badannya, tetapi sejauh mana kuatnya dia bangun pada waktu malam dan beribadat kepada Allah. Mudah-mudahan ALlah permudahkan kita semua ke arah kebaikan.

Kalau di sana (Nagaoka), mungkin pada masa ini hanya menunggu untuk masuk waktu solat Subuh. tapi di sini baru sahaja nak lelapkan mata. Pagi tadi menguruskan jenazah jiran yang meninggal dunia akibat kanser. Arwah adalah orang pertama yang mengisi perkuburan baru di kawasan perumahan tempat saya duduk ini, jadi segala nya menjadi tidak tersusun. Walaupun ada jawatankuasa surau, kejiranan yang baik namun bila jadi macam ni, agak tersentak juga.

Bukanlah tujuan saya untuk bercerita mengenai urusan jenazah jiran saya pada entri kali ini. Sekadar untuk memulakan kembali perkongsian pengalaman terutamanya kepada adik-adik dan rakan-rakan yang masih meneruskan perjuangan di sana. Terutamanya prosedur untuk menguruskan sendiri kereta yang akan di bawa balik nanti ke Malaysia. InsyaAllah saya akan tuliskan satu persatu pengalamannya, bermula dari saya hantar barang-barang ke Niigata port sehinggalah kereta sampai ke tangan saya (walaupun pada masa ini kereta masih belum dapat ke tangan saya setelah balik lebih 3 bulan).

Antara lain insyaAllah saya akan kongsikan pengalaman urusan kewangan bila balik ke Malaysia nanti serta banyak lagi perkara lain kalau saya ingat, saya akan kongsikan.

Wassalam

Tuesday, 13 July 2010

Rehat buat sementara

Alhamdulillah, pada 8hb Julai baru2 ini sesi viva untuk pengajian selama 2 tahun di sini telah selamat di lalui. Terharu dengan doa anak-anak dan isteri yang setiap masa mendoakan moga Allah permudahkan saya. Fauzan yang boleh tiba-tiba berhenti dari bermain dan mengangkat tangan dan berdoa "Ya Allah permudahkan ayah siapkan assignment" berulang-ulang kali. Memang sungguh terharu kalau melihat situasi ini. Saya mendengar dan melihat dari jauh aje (walaupun rumah ni takdelah seluas mana). Kekadang selepas dia habis berdoa, saya peluk dan ucapkan terima kasih kepada Fauzan sambil mata bergenang air mata bersyukur kerana Allah kurniakan Fauzan kepada kami.
(Bergambar di sekolah Fauzan selepas selesai presentation. Gambar di ambil masa pergi ambil dia di sekolah tadika)

Sesi viva di sini memang mendebarkan. Mungkin ini perasaan yang biasa di rasai oleh mereka yang hendak membuat apa-apa presentation. Tapi bila nak present masa sesi kuliah maghrib ke, kelas tajwid ke ok pulak. Apa pun alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Sepanjang sesi latihan, masa 15 minit yang ditetapkan memang dapat di patuhi. Tapi bila present betul-betul terlebih juga 3 minit. Itulah akibatnya kalau saya tidak ikut teks. Kawan-kawan pun dah cakap dah, kalau saya di beri peluang cakap memang payah nak berhenti. he heh...Masa nak intro je gelabah, tapi selepas seminit dua dah rasa macam payah nak berhenti. Itu yang terlebih tu.

Sebagai memenuhi janji kepada anak-anak dan isteri, saya membawa mereka pergi jalan-jalan. Terima kasih juga kepada Jais dan sekeluarga sebab sudi jadi tour guide dan tolong tolong tempah hotel. Tour singkat ni bagi saya best bila tengok anak-anak suka. Especially Faiz, nampak sangat dia suka. Senyum aje sepanjang perjalanan. Cuma di hari kedua hujan agak lebat. Memandangkan saya tak mahu Fauzan ponteng sekolah lama-lama, itu yang saya decide untuk patah balik ke Nagaoka selepas ke Nasu, Nikko dan Tokyo. InsyaAllah selepas ini nak ke Kyoto dan Hiroshima dan mana-mana tempat yang menarik sepanjang perjalanan tu. Boleh la merehatkan minda sementara waktu sebelum balik ke Malaysia dan bertugas semula.

Bagi mereka yang hendak merancang perjalanan di Jepun ni, buatlah perancangan sebelum berjalan. Kalau dah berjalan baru nak buat perancangan, tak mustahil duit akan habis banyak. Kos meningkat sebab penginapan dan tol. Minyak mungkin tak terasa sangat sebab harga minyak sini tak mahal mana. Penginapan di Jepun ni saya rasa antara yang terasa mahal lah jugak walaupun kalau ikut nilai sini tak mahal mana. Selalunya kalau dapat hotel / rumah tumpangan kos dalam 7500yen - 8500 yen satu malam tu kira murah lah. Saya terpaksa lah tempah bilik yang sesuai dengan anak-anak yang dah 3 orang ni.

InsyaAllah kalau di izinkan, saya akan kembali ke Malaysia sebelum Hari Raya Idulfitri tahun ini. Kepada kawan-kawan yang masih tinggal, teruskan perjuangan. Ingat, kita datang sini kebanyakkannya menggunakan duit dari hasil rakyat jadi perlulah kita pastikan ianya berbaloi.

Wassalam.