Friday 16 April 2010

Rakan Seperjuangan semakin kurang

Hari demi hari ada saja rakan yang datang dan pergi dari Nagaoka. Ia mungkin jadi berita yang sedih bagi sesetengah orang, tetapi berita gembira bagi sesetengah yang lain. Masakan tidak, bilamana kami yang sudahpun tamat pengajian samada peringkat Gakubu (undergraduate), ataupun postgraduate pasti akan balik ke kampung halaman masing-masing dan meneruskan sumbangan kepada agama, bangsa dan negara tercinta.

Hujung bulan 3 baru-baru ini menyaksikan lebih dari 16 orang warga Nagaoka pulang ke Malaysia. Bagi kami yang sudah berkeluarga, mungkin tidak terasa sangat sebab masing-masing ada keluarga sendiri di sini. Tetapi bilangan yang semakin mengecil di sini terasa apabila di adakan sesuatu majlis keramaian. Bagi saya seramai mana pun yang balik, yang paling saya terasa "kehilangannya" bila Hanif dan Fahmi sudah tiada lagi di Nagaoka ni. Dua orang anak bujang ini secara peribadi amat saya kagumi kerana kecekalan dan "kekebalan"mereka tidak terpengaruh dengan rentak orang muda yang lain di sini. Sehinggakan pernah dalam salah satu majlis ta`lim di sini saya sebutkan.."Saya mahu lahirkan lebih ramai Hanif di Nagaoka ini!..". Mungkin pada pandangan rakan sebaya mereka, tiada apa yang istimewa pada mereka berdua ini, tetapi bagi saya untuk mencari anak muda yang berulang alik ke surau, menjaga hal ehwal surau dalam keadaan di sini, ia cukup mencabar. Saya doakan saya dan mereka akan terus istiqamah dalam mempertahankan Islam dan Iman masing-masing.

Dalam sehari dua ini pula, kawan family yang meninggalkan Nagaoka ialah Azwan dan Anuar. Kemudian yang akan menyusul, Azida isteri kepada Khairuddin. Anuar pulang dengan meninggalkan isterinya yang masih berjuang di sini dan Azida akan pulang dengan meninggalkan suaminya yang masih meneruskan perjuangan di sini.

(Gambar di majlis perpisahan di buat di rumah Azuar - Abg Mus, Hanif dan Azuan dan Anuar ada dalam gambar ini)

Disebalik kepulangan sebahagian ahli keluarga MADINA, kami di sini juga menerima kehadiran beberapa ahli baru. Walaupun masih baru, tetapi sebahagian dari mereka tidaklah baru di bumi Jepun ini sebab sebahagian dari mereka ini datang dari Kosen. Setakat ini, kebanyakan mereka yang lelaki nampak istiqamah dengan kehadiran di majlis-majlis yang di anjurkan dan majlis ta`lim seminggu sekali disamping solat jemaah di surau Kaikan. Harap-harap begitulah seterusnya sehingga mereka tamat pengajian nanti. Saya perlu ambil bahagian untuk pastikan mereka terus menerus di tarbiyah agar tidak tergelincir di bumi sakura ini. Walaupun diri sendiri tidak sehebat mana, berbekalkan 5 tahun belajar di sekolah Izzuddin Shah dulu, peluang dakwah ini tidak boleh di biarkan begitu sahaja. Siapa tahu, ini "saham" untuk saya sebagai persiapan di alam kemudian nanti.

(Ladies club (kelab isteri-isteri) di majlis perpisahan itu)

Rakan-rakan yang sebelum ini sebahagiannya tidak sempat saya "lembutkan hati ", hinggakan ada sebahagian dari mereka yang saya dengar meninggalkan hutang atau sengaja membuat hutang sebelum balik ke Malaysia. Hutang saman, bil api, air, gas, telefon dan sebagainya. Samada mereka tidak tahu implikasi hutang itu terhadap ibadat mereka atau apa alasannya, saya pun tidak pasti.

Moga Allah permudahkan untuk kita semua di dunia dan akhirat. Amin.

Wassalam

No comments: